To the MALAYS who did not read the Mingguan
Malaysia of 23 September 2012.
(Kepada MELAYU yang tidak membaca Mingguan
Malaysia 23 September 2012).
Khas untuk seorang Melayu bernama Radhi yang
pernah mempertikaikan, apa UMNO dah buat pada orang MELAYU?
ARTIKEL DARI MANTAN PERDANA MENTERI, DR
MAHATHIR MOHAMMED. (HARAKAH tidak akan menyiarkan artikel ini).
Dr.Mahathir Mohammed. |
Sila baca dan fikir fikirkan, demi untuk
generasi MELAYU yang akan datang, anak cucu cicit kita.
SAYA sedih. Bukanlah saya berharap kerana
kesedihan saya akan menarik simpati sesiapa. Hanya saya ingin menyatakan
perasaan saya- perasaan apabila melihat kaum bangsa saya, orang Melayu, begitu
sekali tidak tahu bersyukur, begitu sekali mudah lupa, begitu sekali mudah
dipengaruhi dan diperalat oleh orang lain sehingga sanggup memburukkan bangsa
sendiri.
Bagi generasi yang dilahirkan selepas merdeka tentulah mereka tidak merasai sendiri kehinaan yang dialami oleh orang Melayu semasa mereka dijajah dahulu. Tetapi takkanlah mereka tidak baca sejarah bangsa mereka.
Jika mereka sudah lupa, jika mereka tidak
dapat memahami pahit maung, pedih perit bangsa yang dijajah, izinkan saya yang
biasa dengan tiga penjajahan bercerita sedikit berkenaan orang Melayu semasa
dijajah.
Rata-rata mereka miskin, tidak berilmu
pengetahuan, tidak memiliki apa-apa kecekapan, tidak terdaya mempertahan
negeri-negeri mereka. Mereka terpaksa bertuankan orang putih Inggeris yang
mereka terima sebagai Tuan mereka di negeri mereka sendiri. Mereka bukan tuan
rumah. Mereka sebenarnya hamba rumah yang diduduki orang lain.
Orang putih, secara terbuka menyatakan
orang Melayu adalah bodoh dan malas, tidak mampu menyumbang apa-apa kepada
pembangunan negeri-negeri mereka. Mereka hanya layak jadi pemandu kereta dan
orderly atau budak pejabat atau kerani. Mereka dianggap tidak berkebolehan
melaksanakan apa-apa kerja yang dipertanggungjawab kepada mereka. Orang asing
dari India dan Cina perlu dibawa masuk untuk mengatasi masalah Melayu malas dan
tidak cekap.
Datang Jepun. Orang Melayu hilang jawatan
perkeranian dan jawatan-jawatan rendah yang lain. Mereka terpaksa jadi penjual
pisang di tepi jalan - kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.
Jika tidak tunduk serendah mungkin apabila
lalu di hadapan askar Jepun, mereka dipaksa tatang ketulan batu yang besar
sehingga mereka pening dan jatuh. Mereka diarah panjat pohon kelapa untuk dapat
buah kelapa bagi askar Jepun. Jika gagal mereka ditempeleng dan
terbongkok-bongkok meminta maaf daripada askar Jepun.
Tanpa bertanya sedikitpun akan pandangan
orang Melayu sebagai pemilik negeri-negeri Melayu, Jepun menghadiahkan empat
buah negeri Melayu, iaitu Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu kepada Siam,
kerana membalas budi Siam.
Di bawah pemerintahan Siam, orang Melayu
diarah supaya menghormati lagu kebangsaan Siam dan bendera Siam. Saya lihat
sendiri seorang orang tua Melayu yang tidak turun basikalnya semasa lagu
kebangsaan Siam dimainkan, ditendang di kepala oleh askar Siam apabila lagu
berhenti dan ia jatuh terlentang di atas jalan. Saya dan beberapa Melayu lain
tidak berani menolong orang tua yang telah jatuh. Kami bangsa yang dijajah dan
boleh ditendang oleh sesiapa yang menjajah bangsa kami. Jangan siapa
tolong.
Kemudian, British kembali dan raja-raja
Melayu diugut akan diturunkan dari takhta mereka jika tidak tandatangan
perjanjian Mac Michael supaya negeri-negeri Melayu diserah secara langsung
kepada British. Dan raja Melayu pun tandatangan dan diturunkan pangkat kepada
kadi besar negeri mereka.
Cadangan Malayan Union British bertujuan
menamatkan negeri-negeri Melayu sebagai Tanah Melayu, milik orang Melayu. Ia
akan jadi milik siapa sahaja yang mendapat taraf rakyat Malayan Union milik
British.
Dalam keadaan orang Melayu begitu miskin,
daif dan tidak berilmu pengetahuan, tidak memiliki apa-apa kecekapan, tidak
mempunyai senjata, tidak tahu berniaga, sudah tentu mereka akan menjadi kuli
dan hamba kepada orang lain yang lebih pintar, lebih cekap dan lebih kaya
daripada mereka. Sudah tentu tidak akan ada Tanah Melayu, tanah tumpah darahnya
orang Melayu. Mereka akan jadi bangsa yang tidak bernegara, tidak bertanahair.
Tidak ada masa depan bagi mereka.
Alhamdulillah. Di saat itu mereka tiba-tiba
sedar. Berkat beberapa kerat di antara mereka yang terpelajar yang tahu akan
malapetaka yang menanti bangsa mereka, mereka ketepikan sikap kenegerian mereka
dan kesetiaan kepada raja masing-masing atau kepada keturunan mereka. Mereka
bersatu dan bangun menentang rancangan Malayan Union British. Perpaduan Melayu
yang tumpat ini, pendirian mereka yang tidak berbelah-bahagi berkenaan
penolakan Malayan Union memaksa British gugurkan rancangan mereka dan
kembalikan negeri-negeri Melayu bersama Pulau Pinang dan Melaka yang dimiliki
British kepada orang Melayu. Maka terselamatlah orang Melayu dan negeri mereka.
Malangnya sekembalinya sahaja Semenanjung
Tanah Melayu ke tangan orang Melayu, maka bermulalah rebutan untuk nikmat yang
datang dengan pemerintahan sendiri, khususnya untuk menjadi ahli dalam
dewan-dewan negeri dan dewan undangan Persekutuan. Keahlian ini menjanjikan
pangkat, elaun dan lain-lain kemudahan.
Untuk bekerja sebagai budak pejabat
memerlukan kelulusan tertentu. Tetapi untuk menjadi Yang Berhormat, menteri,
bahkan Perdana Menteri tidak memerlukan apa-apa sijil atau kelulusan.
Yang kecewa, yang tidak dapat nikmat yang
dikejar lupa akan nikmat perpaduan dan mereka tinggalkan UMNO untuk tubuh
kesatuan mereka sendiri. Dengan ini mereka akan dapat dicalon oleh parti mereka
untuk bertanding dalam pilihan raya yang akan datang.
Kumpulan pertama yang menubuh parti
serpihan terdiri daripada ulama dalam UMNO yang kecewa kerana permintaan mereka
supaya 10 daripada mereka dicalonkan oleh Tunku Abdul Rahman ditolak olehnya
dan hanya satu sahaja yang diberi kepada kumpulan ini.
Tetapi Tuhan Maha Kaya. Rata-rata orang
Melayu terus menyokong UMNO yang mana ini memberi kemenangan kepada UMNO dan
rakan-rakannya. Demikianlah besarnya sokongan ini sehingga British terpaksa
serah kuasa kepada Perikatan ciptaan UMNO. Jika Parti Islam mendapat lebih
daripada satu kerusi, nescaya kemerdekaan tidak tercapai pada 1957.
Tanpa merampas hak orang lain, pemerintahan
yang bertunggak kepada Melayu berjaya membangunkan negara dan memberi kepada
bangsa Melayu dan bumiputera lain pelajaran, latihan dan peluang yang tidak
pernah dinikmati oleh mereka semasa dijajah.
Berkat semua ini maka terpulihlah maruah
bangsa Melayu. Alhamdulillah.
Ramalan bahawa pemerintahan yang dipimpin
Melayu ini akan merampas hak dan harta kaum lain tidak menjadi kenyataan.
Sebaliknya pimpinan yang diterajui Melayu berjaya memajukan negara sehingga
dikagumi dunia.
Semua ini terang dan nyata. Dunia akui
kebolehan orang Melayu yang memimpin Malaysia. Tetapi mereka belum sampai ke
tahap bersaing dengan kaum lain terutama dalam bidang perniagaan dan
perusahaan.
Malangnya kejayaan yang sedikit ini telah
menjadikan mereka bongkak dan tamak. Rebutan kuasa antara mereka terus berlaku
dan rebutan yang berpunca kepada ketamakan individu tertentu menyebabkan
perpecahan dan serpihan daripada parti utama mereka.
Mereka yang kecewa kerana gagal merebut
tempat menghasut ahli-ahli dan pemimpin kerdil untuk menyertai mereka, untuk
menjayakan hasrat sempit mereka merebut kuasa, terutama untuk menjadi Perdana
Menteri. Untuk ini mereka membohong, menyalahtafsir agama, menyokong orang lain
yang tidak suka melihat orang Melayu meraih walaupun sedikit kekayaan,
kedudukan dan nikmat yang terdapat di negara ini.
Hasilnya ialah perpaduan Melayu diganti
dengan perpecahan. Orang Melayu yang dahulu digeruni oleh British kerana
kukuhnya perpaduan mereka, sekarang berpecah kepada tiga kumpulan kecil yang
terpaksa mengemis untuk mendapat sokongan orang lain termasuk mereka yang
menentang segala usaha untuk mengimbangkan kedudukan orang Melayu dengan
kaum-kaum lain.
Sokongan orang lain ini tidak diberi secara
percuma. Jika mana-mana daripada parti Melayu ini memenangi pilihan raya dan
mendirikan Kerajaan, tak dapat tidak Kerajaan ini akan terpaksa mengikuti
telunjuk orang lain. Melayu tidak lagi akan menjadi tunggak kepada pemerintahan
negara yang mereka rela berkongsi dengan orang lain. Mereka akan jadi puak
minoriti dalam pakatan yang mereka sertai. Inilah yang akan terjadi hasil
perpecahan orang Melayu.
Siapakah yang membawa malapetaka ini. Tak
lain tak bukan malapetaka ini dibawa oleh orang Melayu sendiri - orang Melayu
yang tamak, orang Melayu yang kurang pintar, orang Melayu yang mudah
dipengaruhi nafsu, yang mudah dikuasai oleh perasaan benci apabila
dihasut.
Orang Melayu sudah lupa akan betapa hinanya
mereka semasa dijajah dahulu. Mereka tidak pun mengakui akan nikmat yang banyak
yang dinikmati oleh mereka setelah merdeka dan mereka menerajui Kerajaan -
Kerajaan Malaysia merdeka.
Oleh kerana lupa dan tidak bersyukur,
mereka rela supaya perpaduan yang memberi kekuatan kepada mereka dimusnahkan.
Mereka sanggup dipecah dan dipisah daripada kuasa yang sedikit yang ada pada
mereka.
Sebab inilah yang saya sedih. Bangsa saya
jelas tidak dapat menangani kejayaan. Bangsa saya mudah lupa. Bangsa saya tidak
tahu bersyukur. Bangsa saya tidak tahu mengambil iktibar daripada nasib yang
menimpa kaum sebangsa yang hari ini tinggal di wilayah yang dikuasai orang
lain.
Jangan bersedih dan bersimpati dengan saya. Bersimpatilah dan bersedihlah dengan diri sendiri, dengan
anak cucu yang akan alami masa depan yang gelap kerana kita tamak dan begitu
benci kepada bangsa dan pemerintahan oleh kita sendiri.
Dr Mahathir Mohamad
23hb September,
2012 – 7 Zulkaedah 1433 H
No comments:
Post a Comment